(FOTO FAIL)
ARAU, 18 April- Perlis akan melaksanakan solat sunat Aidilfitri di kawasan tanah lapang melibatkan semua 101 buah masjid seluruh negeri.
Pelaksanaannya sama seperti tahun-tahun sebelum ini, diselaraskan pukul 8.00 pagi.
Pemilihan tanah lapang berkenaan mengikut ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid di mana pelaksanaannya selaras dengan sunnah Baginda Rasulullah SAW.
Titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bagi pelaksanaan solat Aidilfitri selain tanah lapang yang ditentukan jawatankuasa kariah seperti surau, pelaksanaanya perlu mendapat persetujuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri.
Sekiranya cuaca tidak mengizinkan, solat sunat Aidilfitri akan dilaksanakan dalam ruang masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.
Berikutan peningkatan kes COVID-19, para jemaah digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.
Bagi pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di Kariah Kota Raja, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau dan sekiranya keadaan cuaca tidak menentu akan dilaksanakan di ruang solat Masjid Negeri Arau.
Sekiranya 1 Syawal pada Hari Jumaat bersamaan 21 April 2023, maka jemaah yang telah hadir solat sunat Aidilfitri boleh memilih untuk menunaikan Solat Jumaat atau Solat Zohor.
(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil)