fb fb fb fb fb

Aplikasi pelancongan ‘Pahang Destina’ dilancar 31 Oktober

Leong Yu Man bercakap pada sidang media selepas merasmikan MATTA Fair Pahang 2025, yang berlangsung selama empat hari bermula semalam di East Coast Mall, Kuantan

KUANTAN, 10 Oktober - Kerajaan Negeri Pahang bakal melancarkan secara rasmi aplikasi pelancongan baharu dikenali sebagai ‘Pahang Destina’ pada 31 Oktober ini, menjadikannya aplikasi pertama di Malaysia yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pelancong mendapatkan maklumat tepat mengenai destinasi yang ingin dikunjungi.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man, berkata aplikasi tersebut turut memaparkan informasi aktiviti serta penganjuran program berdasarkan carian destinasi pelancongan pengguna.

“Aplikasi ini berbeza dengan AI lain kerana ia turut disertakan maklumat daripada Tourism Pahang mengenai acara dan aktiviti yang sedang berlangsung. Ini menjadikan platform ini unik kerana acara juga merupakan antara tarikan utama bagi pelancong untuk singgah lebih lama daripada sekadar lawatan sehari kepada bermalam,” katanya.

Setakat ini, sejak prapelancarannya pada September lalu, Pahang Destina telah menampilkan tiga daerah utama pelancongan iaitu Cherating, Bukit Fraser dan Lipis, dan bakal diperluas ke seluruh daerah menjelang pelancaran rasminya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan MATTA Fair Pahang 2025, yang berlangsung selama empat hari bermula semalam di East Coast Mall, Kuantan.

Menurutnya lagi, penganjuran kali ini menyasarkan jualan sebanyak RM2 juta, berbanding RM1.6 juta yang dicatat tahun lalu.

Sebanyak 46 gerai pempamer menyertai MATTA Fair Pahang 2025 dengan menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik termasuk destinasi domestik, antarabangsa serta pakej haji dan umrah, sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE