fb fb fb fb fb

9,500 anggota polis digerakkan, pastikan kelancaran PRU DUN Sabah

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Ketua Polis Negara / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober -Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan kira-kira 9,500 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan serta kelancaran Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penugasan itu meliputi semua 73 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.

“Di Sabah sahaja lebih kurang 9,500 pegawai dan anggota akan bertugas semasa PRU DUN Sabah. Penugasan ini begitu kritikal dan insya-Allah di peringkat persekutuan Bukit Aman akan memberi bantuan sewajarnya.

Setakat ini, Polis Sabah telah memohon tambahan antara 1,000 hingga 1,500 pegawai dan anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Kursus Asas Pegawai Kadet Polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pagi tadi.

Tambahnya, PDRM akan mengawal keselamatan di lebih 3,500 pusat pengundian serta memastikan keselamatan para pengundi sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

Memandangkan keluasan negeri itu dan bentuk muka bumi yang mencabar, perancangan logistik khas termasuk penggunaan helikopter akan digerakkan bagi melancarkan pergerakan anggota.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN