GEORGE TOWN, 13 Disember- Usaha memperkukuh pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus diperkasakan menerusi penganjuran Agenda Pembangunan Ekonomi Muslim (APEM) 2.0, yang berperanan sebagai platform kolaboratif antara agensi kerajaan dan komuniti perniagaan.
Program anjuran Liga Muslim Pulau Pinang itu menekankan pendekatan pembangunan berasaskan tindakan, termasuk bimbingan berterusan serta penyelarasan sokongan sedia ada bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing perniagaan.
Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Seri Najmudeen Kader berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar medan perbincangan, sebaliknya bertindak sebagai platform pemudah cara yang menghimpunkan pelbagai agensi berkepentingan untuk bekerjasama secara lebih bersepadu.
Menurut beliau, penyelarasan antara kumpulan perniagaan, pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan mampu memudahkan pelaksanaan projek pembangunan, khususnya melibatkan keperluan reka bentuk, sokongan teknikal dan penyertaan usahawan dalam proses tender.
“Kumpulan perniagaan yang mempunyai ahli serta penjaga masing-masing, dan pada masa sama matlamat pihak berkuasa tempatan juga selari, boleh dipadankan dengan lebih baik. Ini akan memudahkan pelaksanaan pembangunan.
Melalui platform kerjasama tindakan ini, kita akan membincangkan semua keperluan, sama ada dari segi reka bentuk mahupun keperluan khusus melibatkan agensi atau pihak berkepentingan tertentu, termasuk dalam proses tender," kata Datuk Seri Najmudeen kepada pemberita.
Antara cadangan utama yang diketengahkan termasuk penubuhan Jawatankuasa Tindakan Bersama melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi agama serta agensi kerajaan bagi mempercepat pelaksanaan pembangunan ekonomi berasaskan kawasan.
Selain itu, beberapa kawasan berpotensi ekonomi dan pelancongan turut dikenal pasti untuk diperkasa, selari dengan persiapan Pulau Pinang menjelang Tahun Melawat Pulau Pinang 2026.
Usul-usul yang dirumuskan melalui konvensyen itu dijangka dibentangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan ekonomi negeri yang inklusif dan mampan.