SEREMBAN, 13 Disember - Polis Negeri Sembilan menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tembak di Kuala Pilah supaya tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, ia susulan seorang lelaki cedera selepas dipercayai terkena tembakan ketika berada di dalam Hutan Senaling, Kuala Pilah, pagi semalam.
"Pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya tampil membantu siasatan. Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian FRU 70th FitRun 2025 di sini.
Pihak polis memaklumkan bahawa pasukan siasatan dan forensik telah hadir ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti saintifik serta membantu mengenal pasti punca kejadian dan individu terlibat.
Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang.
Kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada waktu pagi apabila mangsa terkena tembakan peluru penabur daripada senapang patah atau shotgun.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban bagi mendapatkan rawatan awal dan sekarang berada di Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.