fb fb fb fb fb

Anwar terima kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar

Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb dan Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 3 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat oleh Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb.

Sheikh Al-Azhar tiba di Kompleks Seri Perdana di sini pada pukul 6.30 petang.

Ketibaan beliau turut disambut oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. 

Sheikh Al-Azhar dijangka akan memberi ucapan pada Majlis Ilmu MADANI: Distinguished Speaker Series di Seri Perdana malam ini. 

Beliau tiba di Malaysia malam tadi bagi memulakan lawatan khas empat hari hingga Jumaat ini atas undangan Perdana Menteri.

Lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir.

SITI AISHAH MD ISA