fb fb fb fb fb

Anwar mahu projek SMISTA di Bukit Jalil disegerakan

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Bukit Jalil disegarakan.

Pada masa sama beliau juga mahu proses tender bagi projek tersebut harus dilakukan dengan teliti.

"Kalau dahulu beberapa projek ini kelihatan kelam-kabut berikutan menghadapi masalah kelulusan kontraktor. Jadi saya tidakmahu perkara sebegini terjadi lagi.

"Kalau dulu kerajaan tidak menggunakan tender, sebaliknya hanya rundingan sahaja menyebabkan projek lingkup. Jadi kita tidak mahu kecuaian pengurusan menyebabkan projek ini lambat siap," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan SMISTA di ibu negara.

SMISTA, yang ditubuhkan pada 2011, menawarkan pendidikan berteraskan agama serta pendidikan sains moden dan konvensional.

Pembinaan SMISTA diluluskan sebanyak RM70 juta bawah Geran Pembangunan (DE) Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMke-12) itu dijangka bermula pada suku tahun 2025 dan dijangka siap pada tahun 2028.

Kompleks tersebut bakal menempatkan 576 orang pelajar, dan 130 guru termasuk pengurusan sekolah berbanding kapasiti sedia ada iaitu hanya mampu menampung 363 orang pelajar dan 86 orang guru termasuk pengurusan.

Dalam pada itu pendidikan sekolah aliran agama harus seimbang dan perlu menguasai ilmu asas dalam agama serta al-Quran sambil memperkukuh disiplin ilmu baharu.

Anwar berkata perkara itu dilihat penting supaya para pelajar tidak ketinggalan dalam memenuhi tuntutan arus globalisasi serta kemajuan sains dan teknologi.

"Kita harus memberikan tumpuan bidang pendidikan yang boleh memberikan keyakinan akidah dan roh di samping menimba ilmu dan meneroka alam pemikiran serta disiplin baru pada manusia.

"Dunia ini menuntut banyak perubahan dan kita tidak boleh ketinggalan sebab itu kerajaan mahu kita kembali kepada landasan. Jangan menumpukan kepada satu bidang termasuk menjadi huffaz tapi meninggalkan keperluan menguasi teknologi dan keperluan baru supaya kita boleh memimpin," katanya lagi.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI