fb fb fb fb fb

Anwar mahu projek LRT di P.Pinang disegerakan

Jelas Anwar, kerjasama penting antara kerajaan negeri dan pusat akan memberi kesan positif dan perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

GEORGE TOWN, 5 April- Beberapa projek yang mempunyai impak tinggi seperti projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas serta projek LRT perlu disegerakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek berskala besar itu diberi perhatian serius.

Jelas Anwar, kerjasama penting antara kerajaan negeri dan pusat akan memberi kesan positif dan perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

"Negeri tahu keutamaan Persekutuan dan kita juga ambil kira beberapa projek negeri yang perlu disegerakan.

"Antaranya Lapangan Terbang Bayan Lepas..terlalu sesak..tertangguh sekian lama..begitu juga LRT, perlu disegerakan, mengikut perancangan kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Taklimat Pembangunan Negeri Pulau Pinang bersama-sama pemimpin kerajaan negeri itu di sini.

Antara projek yang akan diutamakan ialah projek Klinik Desa di kawasan Bayan Lepas.

Katanya, keadaan lebih 100 keluarga di bawah garis miskin tegar akan diperhalusi kerajaan negeri tersebut.

Anwar berharap azam untuk memansuhkan kategori miskin tegar menjelang 1 Jun depan akan tercapai dengan kerjasama semua pihak.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, pihak yang cuba menghasut rakyat akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ditahan polis di Kota Kinabalu, Sabah.
 
"Saya rasa bukan tangkapan, dia dipanggil untuk disiasat, penting bagi kita faham. Kenyataan kerajaan, kemudian kenyataan oleh Yang di-Pertuan Agong, isu ini kalau betul, ada masalah seperti mana stoking... serius, siasat, tangkap, dakwa, kita jalan terus. Jangan kita guna isu ini dan isu-isu lain untuk menghasut," kata Anwar.

Sementara itu, Anwar meluangkan masa meninjau Program Jualan Termurah Madani dan Bubur Lambuk Perdana di Seberang Jalan Utama, Masjid Kubang Semang, Bukit Mertajam, petang tadi.

Menerusi program tersebut, beliau turut mengacau bubur lambuk dan beramah mesra bersama-sama penduduk.

Beliau tiba ke program berkenaan sekitar pada pukul 5.00 petang dan kemudiannya meninjau ke gerai-gerai jualan selama 20 minit.

Sejurus selepas itu, Anwar menyertai aktiviti mengacau bubur lambuk dan mengedarkannya kepada penduduk yang hadir.

Selesai sesi edaran, beliau bergerak ke program Walkabout Bazar Ramadan Pasar Awam, Seberang Jaya dan Majlis berbuka Puasa Madani Peringkat Pulau Pinang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh.

Perdana Menteri berada dalam lawatan sehari ke Pulau Pinang dan akan berbuka puasa di UITM Permatang Pauh hari ini.

Hadir mengiringi beliau, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM