fb fb fb fb fb

Anwar lawat Kuantan

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama-sama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

KUANTAN, 23 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan ke negeri Pahang hari ini. Ia dimulakan dengan kunjungan ke Istana Abdul Aziz, Kuantan.
 
Beliau tiba pada pukul 3.40 petang tadi itu, bagi mengadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pertemuan lebih satu jam itu, Anwar dan Sultan Abdullah berkongsi cerita dan bertukar-tukar pendapat berkenaan isu-isu semasa bersama-sama Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
 
Perdana Menteri turut berkesempatan bertemu dengan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
 
Sejurus itu, Perdana Menteri kemudian menuju ke Bilik Gerakan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK) Pahang bagi mendengar Taklimat Pembangunan Negeri Pahang yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
 
Selepas itu, Anwar dijadualkan membuat Sesi Walkabout Bazar Ramadan Taman Kerang terletak di Jalan Mahkota, Kuantan dan disusuli Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Pahang di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI