SUBANG, 23 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Presiden Mesir, Abdel-Fattah Al-Sisi bagi berbincang proses penyaluran bantuan kemanusiaan Malaysia dari Kaherah ke Gaza.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap hubungan baik antara kedua negara; Malaysia - Mesir akan dapat membantu kelancaran misi bantuan tersebut.
Beliau memaklumkan Malaysia akan menggerakkan 100 kontena bantuan kemanusiaaan Malaysia dari Kaherah ke Gaza melibatkan 1,358 tan barangan berupa keperluan asas.
Bantuan termasuk barangan seperti tepung gandum, kotak makanan, kit kebersihan, selimut dan khemah dengan nilai anggaran RM12.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah komited untuk bantu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi penghantaran barangan yang dibeli di Mesir khusunya daripada Cairo, Kaherah dan urusan untuk kerajaan dengan kerajaan (G toG) akan diuruskan oleh Perdana Menteri sendiri.
"Pada petang ini, beliau akan telefon Presiden Sisi untuk mendapatkan persetujuan Presiden Sisi dari Mesir bagi membantu bantuan ini agar sampai ke destinasi," kata Zahid ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Flag-Off Misi Bantuan Kemanusiaan 100 kontena Malaysia dari Kaherah ke Gaza di Pangkalan Udara TUDM Subang.
Perdana Menteri, turut berkesempatan hadir seketika pada majlis tersebut yang berlangsung di Pangkalan Udara TUDM Subang.
Misi Bantuan Kemanusiaan 100 kontena Malaysia dari Kaherah ke Gaza ini merupakan pendanaan badan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan Kerajaan Malaysia, akan diuruskan melalui gudang MAPIM di Kaherah, Mesir.
Misi tersebut melibatkan 20 anggota delegasi yang akan berada di kaherah selama 10 hari bagi membuat persiapan dan proses penghantaran bantuan kemanusiaan ke sempadan Rafah.