TOKYO, 16 Disember- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu segera membuat pembaharuan untuk memperkukuh fungsi badan dunia tersebut.
Gesaan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida menerusi satu kenyataan bersama.
Kedua-dua pemimpin menegaskan pembaharuan khususnya melibatkan Majlis Keselamatan dilihat perlu agar fungsinya selari realiti geopolitik abad ke-21.
Dalam pada masa sama kedua-dua pemimpin juga menekankan kepentingan untuk Majlis Keselamatan PBB memperkuat keberkesanan, ketelusan dan keterangkuman melalui penambahan dalam keahlian tetap dan tidak tetap.
Dalam kenyataan sama, "Kishida merakamkan penghargaan atas sokongan Malaysia terhadap pencalonan Jepun untuk menjadi ahli tetap Majlis Keselamatan PBB".
Anwar dalam kenyataan itu juga berharap agar Jepun memberi sokongan balas kepada pencalonan Malaysia untuk menjadi ahli tidak tetap majlis itu untuk tempoh 2036-2037.
"Kedua-dua pemimpin turut mengesahkan untuk terus bekerjasama dalam isu geopolitik serantau dan global termasuk situasi di Myanmar, konflik Palestin, situasi di Ukraine, selain isu berkaitan tenaga nuklear dari sudut penggunaan secara aman".
Kenyataan bersama berkenaan dikeluarkan susulan pertemuan Datuk Seri Anwar dan Kishida semasa mesyuarat bilateral Malaysia-Jepun di Tokyo.