fb fb fb fb fb

Anwar dalam Lembaga Pengampunan untuk timbang permohonan Najib

SHAH ALAM, 8 April - Tiada konflik kepentingan bagi kerajaan untuk menyemak permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau turut berada dalam Lembaga Pengampunan itu serta menjelaskan bahawa pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada konflik kepentingan (di pihak saya). Proses (pengampunan) perlu diikuti dan keputusan muktamad adalah atas budi bicara Agong dan tidak perlu dibahas secara awam kerana proses itu mesti dilalui,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Rights To The City: Kita Untuk Kita (K2K) di Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, di sini hari ini.

Katanya, terlalu awal untuk mengulas permohonan pengampunan Najib kerana Umno baru semalam memohon Agong untuk mengampunkan bekas perdana menteri itu selain tiada sebarang kertas atau proses dilaksanakan setakat ini.

“Saya tidak mahu menghalang sesiapa dalam perkara itu, tetapi apa sahaja proses di mahkamah adalah amat bebas, ia perlu dipatuhi dan dihormati. Akhirnya apa sahaja keputusan, ia adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong semata-mata,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan parti itu telah memohon Agong mempertimbangkan untuk memberi pengampunan kepada Najib.

Menerusi kenyataan semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan memohon menghadap Agong bagi mempersembahkan memorandum berhubung perkara itu.

Menurut Asyraf, Umno akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Agong beserta memorandum yang ditandatangani oleh seluruh kepimpinan Umno terdiri daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap-sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan program Kita Untuk Kita (K2K) di
Pangsapuri PPR Kampung baru Hicom, Shah Alam/FOTO FB Anwar Ibrahim)

Media Baharu