KUALA LUMPUR, 11 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan Azlee Jaafar, seorang pelakon dan anggota kumpulan Senario yang mengalami serangan jantung sebelum ini.
Sumbangan itu dihulurkan melalui Setiausaha Politik beliau iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang datang melawat di kediamannya hari ini.
"Sumbangan ini untuk meringankan beban dan keluarga beliau. Sebelum ini Azlee menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami serangan jantung di rumahnya.
"Alhamdulillah beliau telah dibenarkan pulang dan kesihatannya bertambah baik," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut mendoakan semoga Azlee diberi kesihatan yang baik untuk terus berkarya.
Kesihatan Azlee kini semakin stabil selepas melakukan prosedur peletakan sten di IJN pada 6 Jun lalu dan dinasihatkan berehat selama sebulan untuk proses kesembuhan.