fb fb fb fb fb

Aniaya kanak-kanak: Dua guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh

(Foto hiasan)

IPOH, 14 Julai- Dua guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka, awal bulan ini.

Tertuduh Wan Suhaila Mior Khir, 32 tahun dan Nor Shafina Abdul Khair, 26 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamed.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak berusia dua tahun di Taska Nur Raihan beralamat No 1 Laluan Meru Perdana 5 Taman Meru Perdana 2, Chemor.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara jam 9.37 pagi hingga 4.15 petang pada 4 dan 6 Julai lalu.


(Foto hiasan)

Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah dan S S Evangelin.

Manakala tertuduh Wan Suhaila dan Nor Shafina, masing-masing diwakili peguam Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek dan Mohammad Syarifuddin Zaid.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Ipoh, pengurus taska tersebut turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun tanpa pengawasan dan pemeliharaan sehingga menyebabkan kecederaan pada jam 4.14 petang, 6 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sebutan semula kes pada 16 Ogos depan.

Media Baharu