JOHOR BAHRU, 14 Julai - Isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che' Puan Khaleeda Bustamam menyantuni remaja perempuan Sindrom Down, dikenali sebagai adik Bella, 13 tahun di sini pagi tadi.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Che' Puan Besar Khaleeda berkongsi beberapa keping gambar ketika meluangkan masa melawat adik Bella dan rakan-rakannya di salah sebuah premis yang tidak dinamakan.
"Pada masa ini, adik Bella sudah dipindahkan ke Johor Bahru dan sedang menyesuaikan diri di tempat dan persekitaran yang baharu," titah baginda.
Pemindahan dilakukan atas usaha Kerajaan Johor, bersama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor.
Che' Puan Khaleeda merupakan antara individu yang lantang memperjuangkan kes penderaan kanak-kanak seperti yang menimpa kanak-kanak istimewa seperti Bella yang dianiaya dan diabaikan ketika berada di bawah pusat penjagaan Rumah Bonda yang diselia oleh Siti Bainun Ahd Razali.
Remaja sindrom down itu sebelum ini mengalami kecederaan seperti melecur di tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuhnya.
Kali pertama baginda bertemu adik Bella pada 15 Mei lalu di Legoland.
(Che' Puan Khaleeda menyantuni Bella/FOTO FB Che Puan Khaleeda)