fb fb fb fb fb

Program Jualan Rahmah, RM30 juta telah dibelanjakan

TUMPAT, 14 Julai- Sebanyak RM30 juta daripada keseluruhan RM100 juta peruntukan dibelanjakan kerajaan menerusi program Jualan Rahmah bagi membantu golongan berpendapatan rendah bermula pertengahan April hingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata program tersebut telah memberi manfaat kepada 1.1 juta pengunjung di seluruh negara.

Pihaknya komited memastikan subsidi diperuntukkan dapat terus dinikmati oleh mereka yang layak.

"Sebanyak RM30 juta telah dibelanjakan daripada RM100 juta untuk program Jualan Rahmah. Kita akan memastikan ia akan terus dilaksanakan sehingga RM100 juta. Doakan kita dapat bajet yang lebih banyak tahun hadapan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jualan Rahmah di Laman Warisan Kampung Laut di sini.

Mengulas lanjut katanya, program Jualan Rahmah diadakan menerusi tiga konsep iaitu di dalam premis seperti pasar raya, premis luar serta secara bergerak melibatkan kawasan kampung dan luar bandar.

Tambah Fuziah, bagi Jualan Rahmah secara mobile atau bergerak, orang ramai boleh menyemak jadual laluan dan perjalanan menerusi laman web rasmi kementerian tersebut bagi mendapatkan barangan keperluan bersubsidi pada harga lebih murah.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, kerajaan akan memperkenalkan susu formula dengan harga Rahmah bagi membantu meringankan beban rakyat dalam masa terdekat.

Pihaknya telah melaksanakan sesi libat urus dan kini sedang menunggu tawaran harga daripada pengeluar-pengeluar susu tepung tersebut.

"Kita jangka dalam masa terdekat kerana libat urus itu berterusan dan maklum balas diterima amat positif daripada pengeluar-pengeluar kilang," katanya.

Jun lalu, KPDN mengambil maklum mengenai kenaikan harga susu formula di pasaran dan akan mengadakan sesi libat urus bersama syarikat pengeluar susu itu bagi membincangkan berkenaan harga Rahmah.


(Pihaknya telah melaksanakan sesi libat urus dan kini sedang menunggu tawaran
harga daripada pengeluar-pengeluar susu tepung tersebut)

 

Media Baharu