fb fb fb fb fb

Anggota polis cedera terkena libasan kapak

(Foto Fail)

GERIK, 18 Oktober- Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera selepas terkena libasan kapak oleh suspek kes dadah.

Kejadian berlaku ketika beliau bersama seorang lagi Lans Koperal cuba menahan suspek dalam Operasi Tapis di kawasan kebun sawit Felda Bersia, Gerik, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata anggota tersebut mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan kepala.

"Ketika berada di lokasi kejadian, kedua-dua anggota telah terserempak dengan suspek berusia 31 tahun yang sedang menunggang motosikal.

"Suspek kemudian memberhentikan motosikalnya lalu turun dengan membawa sebilah parang dan kapak sebelum menyerang anggota berkenaan.

"Bagi mempertahankan diri, mangsa melepaskan tembakan ke bahagian kaki suspek.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu paket lutsinar berisi cebisan tumbuhan kering disyaki ganja dan keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis methaphetamine di dalam poket seluar," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, suspek dirujuk ke Hospital Taiping manakala mangsa mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Bersia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyan 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2)/6 Akta Dadah Berbahaya 1953.


(Foto Fail)

Media Baharu