KUANTAN, 12 Julai - Jabatan Mufti Negeri Pahang mengambil perhatian serius terhadap penularan fahaman "New Age Movement" yang sudah mula menyusup ke dalam masyarakat Islam khususnya melalui platform motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan pembangunan spiritual.
Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dalam satu kenyataan hari ini berkata, gerakan itu membawa unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah Islam seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama, penyelewengan wahyu dan syariat.
Datuk Dr Asmadi mengingatkan umat Islam agar berhati-hati terhadap ancaman "New Age Movement" - Foto Jabatan Mufti Negeri Pahang
"Gerakan ini begitu mudah menyerap ke dalam kursus-kursus pembangunan kendiri, seminar 'healing', dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral, tetapi sebenarnya membawa ajaran yang terpesong dari akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Umat Islam diingatkan agar berhati-hati terhadap mana-mana bentuk program yang menggunakan unsur metafizik dalam silibusnya yang tidak berasaskan ajaran Islam yang sahih.
"Dalam hal ini, Sufisme Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan al-Quran, al-Sunnah dan turath ulama muktabar adalah jalan sebenar dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam," katanya.
Kenyataan media Mufti Negeri Pahang
Tegasnya, pendekatan psikospiritual dalam tasawuf yang melibatkan amalan seperti tazkiyah al-nafs, zikir, muraqabah, serta pengenalan terhadap maqam-maqam kerohanian, adalah alternatif yang seimbang dan sah untuk menangani kekosongan jiwa manusia moden.
"Ia tidak hanya menjaga akidah tetapi juga mendidik jiwa agar kembali kepada Allah SWT dengan penuh adab dan rasa kehambaan.
"Umat Islam disarankan merujuk ke Jabatan Mufti untuk mendapatkan nasihat yang tepat berkenaan apa-apa kemusykilan termasuk aktiviti-aktiviti yang menggunakan nama motivasi, pembangunan diri, spiritual dan lain-lain yang berkaitan," katanya.