Anak Tun Daim didakwa gagal isytihar pegangan saham lima syarikat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 April Anak perempuan kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida Abdul Daim didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat pada tahun 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
  • Didakwa mengemukakan pernyataan bertulis bersumpah tidak mematuhi notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
  • Hukuman maksimum lima tahun dan/atau denda RM100,000; mahkamah tetapkan jaminan RM50,000, serah pasport; sebutan semula 21 Mei.

Tertuduh, Asnida Abdul Daim, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja mengemukakan pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Notis berkenaan dihantar oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya atau lebih tinggi pada 14 November 2023, namun tertuduh didakwa gagal mengisytiharkan pegangan saham seperti yang dikehendaki.

Pegangan saham tersebut melibatkan lima syarikat iaitu Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mei depan.