fb fb fb fb fb

AMMTC-19 fokus jenayah dalam talian

Datuk Awang Alik Jeman ditemui selepas sesi AMMTC-19. - Foto BERNAMA.

MELAKA, 10 September - Ancaman penipuan dalam talian atau scam menjadi fokus utama hari kedua Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 di Banda Hilir, Melaka.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman berkata, jenayah tersebut dibincangkan secara serius memandangkan kesannya semakin membimbangkan di rantau ini.

“Yang paling penting adalah scam kerana masalah scam online ini sangat serius. Kita telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama strategik dengan negara-negara ASEAN bagi saling bertukar maklumat risikan dan langkah lain supaya perkara seperti ini dapat kita bendung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat berkenaan yang turut meneliti isu penyeludupan dadah serta beberapa bentuk jenayah rentas sempadan lain.

Menurut Datuk Awang, mesyuarat juga mendengar pembentangan daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Institut Pencegahan Jenayah Asia serta syarikat teknologi META.

Selain itu, negara anggota turut bersetuju menerima hasil penilaian semula bidang keutamaan jenayah rentas sempadan serta Pelan Tindakan Memerangi Jenayah Rentas Sempadan 2026-2035.

TUN JULIA MOHD TAHIR