Amirudin ketuai misi ke Gaza, permudah rundingan bantuan Malaysia- PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Datuk Seri Amirudin Shari / BERNAMA

IPOH, 4 April – Keputusan menghantar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengetuai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza dibuat bagi memastikan urusan penyaluran bantuan berjalan lancar dan berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri kata wakil kerajaan diperlukan untuk rundingan dengan pihak berkuasa Mesir termasuk pihak tentera.
  • Pemilihan wakil diambil kira skala besar penghantaran yang melibatkan kontena.
  • Delegasi Malaysia dalam misi dan Global Sumud Flotilla 2.0 menghantar 30 kontena bantuan.
  • Misi digerakkan MAPIM dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan keperluan melibatkan wakil kerajaan dalam rundingan bersama pihak berkuasa Mesir termasuk pihak tenteranya.

Menurut beliau, pemilihan Amirudin juga mengambil kira skala besar penghantaran bantuan yang melibatkan kontena.

“Saya mengambil keputusan untuk menghantar wakil kerajaan kerana misi ini melibatkan kontena yang besar serta memerlukan beberapa rundingan dengan kerajaan Mesir dan pihak tentera.

“Jadi saya perlu melantik seorang wakil yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk membantu memudahkan urusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini.

Delegasi Malaysia dalam Misi ke Gaza serta Global Sumud Flotilla 2.0 melibatkan penghantaran 30 kontena mengandungi kira-kira 374 tan metrik bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang kini berdepan situasi kemanusiaan semakin kritikal.

Misi berkenaan digerakkan Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia serta rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.