fb fb fb fb fb

AMD Malaysia-Singapura, platform tingkat perdagangan, pelaburan

(Dialog Tahunan Menteri (AMD) Malaysia-Singapura di Kuala Lumpur/Fb Tengku Zafrul)

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Malaysia dan Singapura bersetuju mengadakan Dialog Tahunan Menteri (AMD) sebagai platform tetap bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala kedua-dua negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sesi dialog yang julung kali diadakan hari ini membincangkan kemajuan Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau.

Beliau bersama Menteri Perdagangan dan Industri, Singapura (MTI) Gan Kim Yong, turut mencapai persetujuan membabitkan beberapa perkara susulan pemeteraian kedua-dua rangka kerja itu Januari lalu.


(Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
dan Menteri Perdagangan dan Industri, Singapura (MTI) Gan Kim Yong/Fb Tengku Zafrul)

“Berdasarkan Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital, kedua-dua menteri mengumumkan satu pasukan petugas baharu untuk meneroka penggalakan perdagangan perniagaan rentas sempadan, memanfaatkan Platform Perdagangan Digital Matrade yang dilancarkan semalam serta inisiatif Perniagaan tanpa Sempadan Singapura,” katanya kepada pemberita selepas AMD pertama antara Malaysia dan Singapura di sini.

Beliau berkata kerjasama digital itu akan mengurangkan kos dan mempercepat inisiatif perusahaan kecil dan sederhana meneroka pasaran eksport global.

Menerusi Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Hijau pula, kedua-dua negara antara lain akan berkolaborasi dalam Program Pembangunan Kapasiti untuk Pengeksport, bertujuan menyokong peralihan kemampanan pengeksport.

Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar masing-masing, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah $AS83.53 bilion tahun lalu.

Singapura juga sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) negara, menyumbang 8.3 peratus kepada jumlah FDI tahun lepas.

Media Baharu