fb fb fb fb fb

Ambil serius, jangan politikkan projek tebatan banjir - Agong

Titah baginda, projek tebatan banjir perlu diambil serius dan tidak dipolitikkan.

PEKAN, 11 Januari- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan Pahang agar segera menyiapkan projek-projek tebatan banjir di seluruh negeri itu.

Titah baginda, projek tebatan banjir perlu diambil serius dan tidak dipolitikkan.

"Tebatan banjir yang mana telah pun dirangka oleh pihak berwajib di seluruh negeri Pahang, beta harap janganlah berpolitik dalam hal ini, seelok-eloknya secara serius dan secara segera untuk membina tebatan-tebatan banjir di seluruh negeri Pahang," titah baginda ketika berkenan mencemar duli melawat penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Chini 1 di sini.

Baginda turut menasihatkan penduduk terjejas banjir di PPS agar menjaga kebersihan, terutama ketika menggunakan tandas.

Titah baginda, soal kebersihan tidak sewajarnya diambil ringan kerana ia boleh mendatangkan mudarat dan menjadi pembawa wabak penyakit.

Pada majlis sama, baginda turut menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan oleh kerajaan Persekutuan sebanyak RM10,000 dan kerajaan negeri sebanyak RM5,000, selain kurniaan peribadi kepada wakil keluarga mangsa lemas, Allahyarham Muhammad Adhwa Haslan, 31 tahun.

Mangsa yang juga pekerja ladang didakwa terjatuh ke dalam parit di ladang kelapa sawit di Sungai Bebar Utara, Pekan, 8 Januari lalu.

Dalam pada itu, penduduk terjejas banjir di PPS Dewan Semai Bakti Chini 1 menzahirkan kegembiraan apabila berpeluang bertemu secara langsung dengan baginda.

"Seronok. Kalau duduk kat rumah dokleh jumpa, mari sini dapat juga jumpa baginda, boleh jugak cakap, dengar suara kan. Baginda berjiwa rakyat dan baik," penduduk, Wan Dayang Wan Isa.

"Rasa terharu dan berterima kasih kepada tuanku sebabnya sanggup datang ke sini menziarah penduduk terjejas banjir. Ini pertama kali jumpa tuanku," penduduk, Nurhasimah Mustafa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM