fb fb fb fb fb

Lebih 61,000 penduduk Kedah selesai daftar PADU

Nadia Marzuki (kiri) meninjau proses pendaftaran PADU secara fizikal di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Belimbing Kanan di Kedah

KUALA NERANG, 11 Januari- Seramai 61,466 penduduk Kedah telah mendaftar dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bermula 2 Januari lalu hingga tengah malam tadi.

Angka itu masih rendah iaitu hanya 4 peratus daripada jumlah keseluruhan kira-kira 1.5 juta penduduk Kedah yang layak berbuat demikian.

Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri optimis angka tersebut dapat ditingkatkan dengan pelbagai langkah dan usaha bersepadu bagi menggalakkan orang ramai mendaftar sistem PADU.

Pengarahnya, Nadia Marzuki berkata, ketiadaan kemudahan internet dan tidak mendapat maklumat yang jelas serta tepat berkaitan PADU menyebabkan ramai penduduk masih belum mengemas kini sistem berkenaan.

"Kita nak semua rakyat Malaysia bantu antara satu sama lain supaya hebahan (PADU) sampai ke peringkat golongan sasar. Kita takut ada golongan yang sepatutnya berada dalam sistem PADU (tetapi tiada).

"(Ini kerana PADU) memudahkan kerajaan untuk membantu mereka di kemudian hari.

"Kita risau pada merekalah sebenarnya maklumat itu tidak sampai. Jadi memang kita memerlukan peranan daripada semua orang.

"Jika ada (individu) yang sudah buat PADU, mungkin boleh bantu kaum keluarga di kampung untuk membuat pendaftaran PADU," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pendaftaran PADU secara fizikal di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Belimbing Kanan di sini.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui mengakui pendaftaran PADU secara fizikal telah memudahkan urusan mereka terutama individu berusia.

"Langkah pada hari ni saya rasa cukup berkesan dan bermanfaat pada semua warga Kuala Nerang. Dicadangkan maklumat ini kita hebahkan kepada semua ketua kampung dan PEDi kampung, saya rasa pergerakan maklumat begini lebih menyeluruh," kata Mohamad Yusof Yaakob, penduduk sini.

"Saya kira bagus juga bagi kami yang sudah berumur ini yang tidak tahu nak buat melalui online (dalam talian). Dapatlah kami datang sini, boleh buat (PADU)," kata Sarah Abd Hamid, penduduk sini.

Sebanyak 12 PEDi di setiap daerah di negeri itu digunakan sebagai kaunter fizikal PADU.

Antaranya PEDi Kampung Bawah Gunung, Baling; PEDi Belimbing Kanan, Padang Terap; PEDi Bukit Raya Dalam, Pendang; PEDi Serdang, Bandar Baharu; PEDi Kampung Gunung Hilir, Kota Setar; PEDi PPR Paya Nahu, Kuala Muda; PEDi Changlun, Kubang Pasu; PEDi PPR Kelang Lama, Kulim; PEDi Kuah, Langkawi; PEDi Pekan Sik, Sik; PEDi Yan Kechil, Yan; dan PEDi Bukit Payong, Pokok Sena.

Pengemaskinian PADU juga boleh dilakukan di Ibu Pejabat Jabatan Perangkaan Malaysia negeri Kedah di Wisma Persekutuan, Alor Setar; dan Pejabat Operasi jabatan itu di Langkawi dan Sungai Petani.

Orang ramai yang ingin berbuat demikian diingatkan supaya membawa salinan kad pengenalan ketua isi rumah dan ahli isi rumah termasuk ahli berumur bawah 18 tahun serta maklumat akaun bank sebelum mendaftar.

Pendaftaran dan pengemaskinian maklumat dalam sistem PADU boleh dilakukan sehingga 31 Mac ini.

PADU adalah pangkalan data utama kerajaan ke arah mewujudkan satu ekosistem pemberian bantuan yang lebih sistematik dan perancangan polisi yang lebih holistik.

Pengemaskinian PADU dapat mengelakkan orang ramai daripada keciciran untuk sebarang program bantuan atau subsidi bersasar dan pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan pada masa akan datang.

PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA