fb fb fb fb fb

Harga pakej pelancongan mahal, MOTAC pandang serius rungutan orang awam

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan/BERNAMA

IPOH, 11 Januari- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan harga penginapan mahupun pakej pelancongan yang ditawarkan di negara ini berpatutan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan memandang serius rungutan sesetengah pihak yang mendakwa kos untuk melancong di negara ini adalah mahal.

Kerjasama itu antara usaha kerajaan merakyatkan sektor pelancongan di negara ini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Memang betul ada yang mengambil kesempatan dan ini telah dilihat secara serius oleh pihak kementerian bagaimana kita boleh memastikan harga yang ditawarkan itu sebenarnya berpatutan kerana konsep kita adalah untuk merakyatkan pelancongan.

"Apabila kita bicarakan tentang merakyatkan pelancongan, itulah yang perlu diutamakan, harganya, pakejnya, kemudahannya, keselesaannya dan perkara perkara lain", katanya pada Majlis Perasmian Tasik Cermin 2, sempena Tahun Melawat Perak 2024, di Ipoh.

Dalam pada itu, pihaknya turut menafikan dakwaan tiada peruntukan disalurkan oleh MOTAC kepada negeri Perlis sempena Tahun melawat Perlis 2024.

Kementerian tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri berhubung isu tersebut dan sesi libat urus sering diadakan bertujuan memberi peluang kepada semua pihak menyuarakan pandangan dan masalah berkaitan sektor pelancongan.

ROSLINA BINTI DIN