fb fb fb fb fb

Amaran ribut petir, hujan lebat di lapan negeri petang ini

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Lapan negeri diramal berlaku ribut petir dan hujan lebat, hingga 4.00 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang, dijangka berlaku di seluruh Johor serta beberapa kawasan di Kedah (Langkawi) dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung).

"Keadaan cuaca yang sama juga dijangka berlaku di Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman) serta Pahang (Jerantut, Bentong dan Rompin)," kata MetMalaysia menerusi kenyataan.

MetMalaysia turut meramalkan ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di Selangor iaitu Klang, Kuala Langat dan Hulu Langat dan di Negeri Sembilan membabitkan Jelebu, Seremban dan Kuala Pilah.

"Di Sabah, keadaan sama dijangka berlaku di kawasan pedalaman iaitu di Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan, di Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Lahad Datu), Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat)," katanya.

TETITIA YUSOFF