fb fb fb fb fb

Banjir di Perlis pulih sepenuhnya

FOTO FAIL

KANGAR, 12 Oktober - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kangar dan Arau masing-masing ditutup pada petang ini dan tengah hari tadi, selepas situasi banjir di Perlis pulih sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mat Esa berkata dua PPS itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di Kangar yang ditutup 2.00 petang tadu manakala PPS SK Arau bagi kawasan daerah Arau pula ditutup 12.00 tengah hari tadi.

Beliau berkata seramai 119 peduduk terjejas banjir yang berada di PPS SK Sena dan lima orang berlindung di PPS SK Arau setakat pukul 8.00 pagi tadi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Mereka yang terlibat dengan banjir ini antaranya dari Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau dan Kampung Repoh di Kangar, manakala Kampung Banat, Kampung Belat Batu dan Kampung Seberang Behor Mempelam bagi kawasan Arau," katanya dalam kenyataan.

Banjir di Perlis berlaku pada Selasa lepas apabila dua PPS iaitu di SK Sena dan SK Kubang Gajah, Arau mula dibuka pada 12 tengah hari sebelum PPS SK Kubang Gajah ditutup 12.30 tengah hari semalam.

Tiga lagi PPS yang beroperasi sebelum ditutup semalam dan Khamis lepas ialah PPS Kolej Vokasional Kangar yang ditutup pada 12.40 tengah hari semalam manakala PPS SK Guar Nangka (di Arau) dan PPS SK Bintong (di Kangar) ditutup Khamis lepas masing-masing pada 10.30 pagi dan 2.00 petang.

TETITIA YUSOFF