IPOH, 16 Julai - Amalan konsep Tabayyun penting untuk menyemak atau memeriksa sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada individu lain.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep berkenaan secara tidak langsung dapat melatih seseorang individu itu supaya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu kesimpulan.
"Amalan ini relevan untuk memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan dengan penuh berhemah dan berintegriti. Sama-samalah kita mengamalkan konsep Tabayyun sekali gus dapat membantu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian dalam kalangan rakyat selain mengelak gejala fitnah," kata Anwar di sini.
Tambah beliau, dunia tanpa sempadan menjadikan perkongsian dan penyebaran maklumat dapat dilakukan dalam kiraan detik sahaja.
Ini sekali gus menjadikan yang benar dan salah bercampur-baur dalam dunia maya sehingga menimbulkan bibit-bibit persengketaan yang mampu menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum.
(Teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disampaikan
Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof)
Turut hadir Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Majlis pelancaran yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' berjaya menarik kehadiran hampir 10,000 pengunjung.
Sempena pelancaran juga, turut diadakan Karnival Kita Madani dengan pelbagai aktiviti menarik iaitu Jualan Rahmah, pertandingan bintang patriotik, kuiz kenegaraan, persembahan artis dan pelbagai lagi.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan membuka kaunter bayaran saman yang menawarkan pengurangan saman terpilih sebanyak 50 peratus.
Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Dataran Putrajaya, manakala Sambutan Hari Malaysia pada 16 September berlangsung di Kuching, Sarawak.