KUALA LUMPUR, 17 September- Kesedaran terhadap amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, khususnya warga kota terbukti semakin meningkat, apabila bilangan penyertaan program Fun Run 2023 yang berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mencecah 7,000 orang.
Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Izwan Razif Salehaped berkata, diinspirasi daripada program mingguan:'KL Car Free Morning' (KLCFM), kali ini ia diadakan dalam skala lebih besar bagi meraikan Bulan Kebangsaan.
Selaras 'Matlamat Pembangunan Mampan', inisiatif ini sekali gus mendokong usaha memelihara kelestarian alam selain memupuk budaya hidup sihat dan berkualiti secara berterusan.
(Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL,
Izwan Razif Salehaped)
"Untuk mempromosikanlah 'perubahan iklim', yang mana kita akan mengurangkan karbon. Kita pun ada pelan induk masyarakat rendah karbon yang mana kita inginkan Kuala Lumpur ini lebih sihat dan juga rendah karbon.
"Kita juga ingin mengurangkan pelepasan karbon, gas rumah hijau. Kita lihat program ini adalah satu program yang baik untuk mencapai tujuan tersebut", katanya ketika ditemui dalam program Fun Run 2023 di ibu negara.
Dalam pada itu, Pengerusi Bersama KL Car Free Morning, Nezzam Malek pula berkata, sejak diperkenal pada 2013, sambutannya semakin memberangsangkan.
Malah, bermula sebagai program bulanan, kini ia menjadi rutin mingguan khususnya bagi warga kota dalam membudayakan gaya hidup sihat serta memelihara kehijauan alam.
"Yang pertamanya adalah 'carbon emission' maknanya pengurangan karbon. Itu antara salah satu matlamat kita. Yang kedua, adalah gaya hidup sihat, yang kita terapkan sekarang. Yang ketiga adalah 'family bonding' ataupun kekeluargaan dan keempat ialah perpaduan. Jadi, empat elemen ini kita sekalikan dalam satu acara.
"Ini adalah antara objektif yang kita cuba ketengahkan disamping kita juga dapat menguar-uarkan mengenai 'Go Green' ataupun kempen pengurangan karbon", katanya kepada media dalam program tersebut.