fb fb fb fb fb

Alumni MyCorps disaran berkhidmat sebagai penjawat awam - Hannah

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta MyCorps ketika hadir pada Program Ignition Ceremony MyCorps Misi 9@ Borneo 2.0 di sini hari ini/BERNAMA

PUTRAJAYA, 5 Mac- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan agar Alumni Program Kepimpinan Kesukarelawanan Belia Malaysia (MyCorps) berkhidmat dengan perkhidmatan awam, mengambil kira komitmen tinggi diberikan sepanjang terlibat dalam misi MyCorps.

Menterinya, Hannah Yeoh menyatakan kesemua peserta program itu mempunyai semangat bekerja yang kuat dan ikhlas.

Beliau juga menyifatkan semangat itu diperlukan dalam perkhidmatan awam seterusnya dapat memberi impak positif kepada negara.

"Apa yang kita nak juga untuk alumni MyCorps ini, mereka mempunyai semangat dan mereka ini diperlukan sebagai penjawat awam. Ini kerana sikap mereka hendak berkhimat.

Jadi, kita akan terus bekerjasama dengan alumni untuk bagi mereka latihan dan bagi mereka pendedahan untuk lihat bidang apa lagi yang mereka boleh laksanakan," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Beliau menyatakan perkara itu selepas berucap pada Program Ignition Ceremony MyCorps Misi 9 Borneo 2.0 di Putrajaya.

Tambahnya, KBS juga berhasrat menganjurkan MyCorps selama empat kali setahun iaitu tiga bulan sekali, berbanding sekali setahun buat masa ini, susulan permintaan tinggi daripada golongan belia walaupun tempat terhad.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM