fb fb fb fb fb

Allahyarham Tun Daim selamat dikebumikan

Allahyarham Tun Daim (foto kecil) dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di ibu negara hari ini/RTM

KUALA LUMPUR, 13 November- Jenazah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Bukit Kiara, di sini, pada pukul 6.15 petang tadi.

Lebih 200 hadirin termasuk keluarga, rakan-rakan dan ahli politik hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham.

Jenazah allahyarham disolatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum dibawa ke tanah perkuburan. Solat jenazah itu dipimpin oleh anak saudara allahyarham.

Antara yang hadir menunaikan solat jenazah ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan mewakili pihak kerajaan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham.

"Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham dan saya telah sampaikan kepada isteri allahyarham, Toh Puan Naimah Khalid dan juga anak-anak allahyarham.

"Sudah pasti allahyarham memainkan peranan penting kepada negara dan banyak berbakti kepada negara tatkala beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan," katanya ketika ditemui pemberita.

Allahyarham Daim, 86, meninggal dunia pada 8.21 pagi ini Hospital Assunta, Petaling Jaya, ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, pertama dari 1984 hingga 1991, di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi negara dan melaksanakan pelarasan struktur.

Allahyarham kembali berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari 1999 hingga 2001, juga di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir bagi menangani isu ekonomi susulan krisis kewangan Asia.

Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham Daim berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 hingga 2004.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA