fb fb fb fb fb

Aliran trafik di lebuh raya PLUS catat trend peningkatan, pemandu dinasihat patuh peraturan

KUALA LUMPUR, 6 Jun- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 1.8 juta hingga 2 juta kenderaan menggunakan laluan lebuh raya dibawah kendaliannya hari ini bersempena cuti umum, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, peningkatan jumlah kenderaan itu turut didorong oleh musim cuti sekolah yang merekodkan jumlah trafik yang tinggi sejak hari Jumaat dan Sabtu.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna agar memandu dengan berhati-hati dan sabar serta mematuhi peraturan lalu lintas.


(Kenderaan mula bertambah di lebuh raya PLUS bermula 2.30 petang)

Pengguna lebuh raya juga dinasihat memastikan baki kad Touch N Go mereka mencukupi untuk mengelakkan kesesakan di lorong-lorong tol.

Mereka juga dinasihatkan merancang perjalanan sebaik mungkin menggunakan aplikasi PLUS dan WAZE atau google map untuk mengetahui keadaan trafik semasa.

Sementara itu, tinjauan RTM di beberapa lebuh raya utama sekitar ibu negara mendapati aliran trafik bergerak lancar tanpa sebarang kesesakan setakat tengah hari tadi.

Bagaimanapun jumlah kenderaan menunjukkan trend peningkatan di lebuh raya yang menghala ke ibu negara.

Situasi itu dapat diihat di plaza tol Sungai Besi dan plaza tol Sungai Buloh yang merekodkan pertambahan jumlah kenderaan masuk ke ibu negara pada sebelah petang berbanding waktu pagi.

Keadaan di hentian rehat dan rawat (RNR) juga semakin sibuk dengan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya musim cuti sekolah untuk pulang ke kampung dan bercuti.

"Musim cuti ini kita manfaatkan untuk pulang ke kampunglah. Dah 2 tahun tak balik kampung di Negeri Sembilan, kalau ikutkan saya nak ke Pulau Langkawi tapi saya rasa ramai akan ke sana, maka kita tukar pelan lah," kata Muhamad Jazli Safwan ketika ditemu bual RTM.


(Pengguna lebuh raya, Muhamad Jazli Safwan  berkongsi pandangan berhubung aliran trafik ketika ditemu bual RTM)

"Hajatnya nak pegi Cameron Highlands untuk bawa keluarga, ibu dan adik-beradiklah. Manfaat waktu dengan keluarga waktu cuti ini," kata Hamidah Nur ketika ditemu bual RTM.

"Hari raya baru-baru ini ada balik dah kampung tapi sebab cuti sekolah ni kita baliklah kampung sekejapkan jenguk-jenguk orang tua di kampung," luah Hazalina Burahan kepada pemberita RTM.

Media Baharu