fb fb fb fb fb

Sesi persekolahan diteruskan, sekolah terjejas boleh mohon PdPR

Tiga beradik bermain kayak di halaman rumah saudara mereka di Kampung Titi Gajah ketika tinjauan banjir di sekitar Alor Setar semalam/Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 21 September - Sesi persekolahan di Kedah akan diteruskan seperti biasa esok, kata Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mahadhir Ismail.

Bagaimanapun, pihak sekolah yang terjejas akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) boleh memohon sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut Mahadhir, beberapa sekolah yang terjejas oleh banjir telah membuat permohonan dan sedang menunggu kelulusan.

“Bagi pelajar yang menjadi mangsa banjir, mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa yang bersesuaian jika sekolah mereka tidak memohon PdPR,” katanya ketika bercakap di Alor Setar.

Setakat ini, sebanyak 37 sekolah di Kedah telah dijadikan PPS untuk menempatkan penduduk yang terjejas banjir, manakala lapan sekolah telah ditenggelami air dan dua daripadanya telah pulih.

Keadaan banjir juga telah menjejaskan 1,251 pelajar dan 30 guru setakat malam tadi.

GRACE AISYAH KEDAYAN