SINTOK, 12 Jun – Projek Pembangunan Ekonomi Komuniti Akuaponik (PEKA) dikenal pasti sebagai salah satu program berimpak tinggi yang sesuai diperluaskan kepada komuniti di bawah inisiatif Projek Transformasi Changloon (CTP) yang bermatlamat meningkatkan sosioekonomi komuniti.
Ketua PEKA, Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi berkata, projek rintis melibatkan 30 keluarga di Changloon mendapati, penggunaan sistem akuaponik yang lestari dapat menghasilkan pendapatan tambahan kepada peserta sehingga RM500 sebulan.
Dalam dunia yang semakin mencabar dengan isu perubahan iklim dan keterjaminan makanan, akuaponik muncul sebagai salah satu penyelesaian pertanian moden cekap, mampan dan menguntungkan pengusaha.
Akuaponik adalah kaedah pertanian lestari menggabungkan akuakultur (penternakan ikan) dan hidroponik (penanaman tumbuhan tanpa tanah) dalam satu ekosistem tertutup.
Sisa buangan ikan akan menjadi baja semula jadi untuk tanaman, manakala tanaman pula membersihkan air untuk ikan.
“PEKA memperkenalkan sistem pertanian organik moden yang sangat inovatif menggunakan kaedah akuaponik kepada komuniti. Teknologi, sistem automasi dan pemantauan secara masa nyata menggunakan Internet Benda (IoT) bagi projek ini dapat memaksimakan penggunaan sumber terhad tetapi mampu mengeluarkan hasil yang tinggi. Dengan gabungan teknologi dan sistem akuaponik, peserta bukan sahaja boleh menternak ikan tetapi turut mengusahakan penanaman sayur-sayuran organik bagi menjana pendapatan,” jelas Dr. Mohamad Farizal.
Beliau merupakan salah satu penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) yang berjaya menghasilkan produk akuaponik dikenali sebagai “Ezee DIY Aquaponics Automation System” (EDAAS) sempena Kovensyen Inovasi Sosial (KIS) 2024 dengan menggabungkan akuakultur dan hidroponik.
Projek rintis yang dilaksana, melibatkan 30 buah keluarga dari Kampung Tradisi dan Felda Batu 8 di Changlun dengan matlamat menambah pendapatan isi rumah, mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber pendapatan dan memanfaatkan akuaponik untuk menghasilkan sumber makanan.
“Selain itu, pembangunan sistem pertanian organik moden ini atau akuaponik didapati berupaya memperkasa sesebuah komuniti, membawa faedah kepada kesihatan apabila hasil sayur dan ikan adalah lebih segar dan berkhasiat. Ia juga dapat membuka peluang pendidikan kepada komuniti melibatkan belia untuk mendalami bidang pertanian moden serta mengeratkan kerjasama dalam komuniti,”jelas beliau lagi.
Teknologi akuaponik yang digunakan mudah diselenggara dan tidak memerlukan pemantauan sepenuh masa menjadikannya sebagai teknologi yang mudah dikendali dengan pengetahuan teknikal minimum.
Pasukan penyelidik bagi projek PEKA yakin bahawa teknologi akuaponik yang sangat mudah ini dapat menjadi pemangkin kepada komuniti melibatkan diri dalam sektor ini dan seterusnya bersama-sama menjayakan agenda CTP.
Ia juga berpotensi menjadi bidang yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada golongan sasaran hasil kerjasama strategik rakan industri seperti Majlis Perbandaran Kulim, UUM Leads dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Paling utama, pelaksanaan projek komuniti ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu penghapusan kemiskinan, kelaparan sifar, tindakan iklim dan kehidupan bawah air.
UUM melancarkan CTP pada Januari 2025 bagi membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi penduduk bandar ini dan memperkasa komuniti menjadi Komuniti Berpengetahuan serta memiliki pemikiran yang progresif.
Bagi mencapai matlamat, empat bidang diberi tumpuan iaitu Transformasi Sisa, Transformasi Pengetahuan, Transformasi Pelancongan dan Transformasi Sosial melalui kerjasama strategik UUM, kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat setempat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakan industri.
Pelaksanaan program kepada komuniti di Changlun dibuat berdasarkan strategi-strategi yang telah digariskan dalam tempoh 10 tahun mengikut perancangan strategik CTP.