fb fb fb fb fb

Aktiviti pembalakan dan perlombongan tidak diluluskan jika beri kesan buruk - MB Perak

IPOH, 5 Februari - Kerajaan Perak tidak akan meluluskan sebarang aktiviti pembalakan danĀ perlombongan di kawasan Hutan Simpan Kenderong jika ia memberi kesan negatif kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata semua aktiviti itu juga perlu mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) sebelum diteruskan.

Jelas beliau, pihaknya akan membuat semakan dan mendapatkan laporan penuh daripada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan mengenai isu tersebut.

"Kita pun tidak mahu rakyat terkesan dan dalam kes ini JAS bersama Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNPk) yang akan menentukan kesahihan dakwaan itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Laman Seri Ridzuan, di sini.

Semalam, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meluahkan kebimbangan mengenai projek pembalakan dan perlombongan bijih timah di Hutan Simpan Kenderong Mukim Kerunai, Gerik kerana dibimbangi mencemarkan sumber air Sungai Perak.

Presiden SAM, R. Meenakshi menyatakan kawasan hutan seluas 245 hektar telah dinyahwartakan dari Hutan Simpan Kenderong untuk tujuan pelaksanaan projek tersebut yang dicadangkan oleh sebuah syarikat perlombongan.

Tapak tersebut juga terletak di dalam kawasan wilayah Rangkaian Utama-8 dalam Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang merupakan kawasan habitat spesies hidupan liar terancam dan hampir pupus seperti gajah, harimau, tapir dan beruang matahari.

Media Baharu