
KOTA KINABALU, 15 Mac – Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun depan bertujuan mewujudkan sistem pinjaman sewa beli yang lebih adil dan telus kepada pengguna.
- Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 dikuatkuasakan mulai 1 Jun 2026.
- Tujuan pindaan: mewujudkan sistem sewa beli yang lebih adil dan telus untuk melindungi pengguna.
- Peruntukan baharu termasuk kaedah pengurangan baki dan pengenalan kadar faedah efektif.
- Pindaan menyokong transformasi digital, membenarkan tandatangan dan perjanjian elektronik memudahkan urusan pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem kredit negara.
“Sekian lama 20 tahun usaha telah dibuat. Alhamdulillah bawah kerajaan MADANI, kita telah membuat reformasi undang-undang yang terkait dengan transaksi sewa beli.”
“Beberapa peruntukan baharu ditambah baik melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967, antaranya dengan memperkenalkan kaedah pengurangan baki dan juga kadar faedah efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Hari Pengguna Kebangsaan di Kota Kinabalu.
Pindaan itu juga menyokong transformasi digital, membolehkan penggunaan tandatangan dan dokumen perjanjian secara elektronik, sekali gus memudahkan urusan pengguna.
Majlis perasmian Hari Pengguna Kebangsaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim.