fb fb fb fb fb

Akta Keselamatan Dalam Talian 2024: Perkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil / Foto RTM

ANGKASAPURI, 16 Januari-Pewartaan Akta Keselamatan Dalam Talian bakal meningkatkan aspek keselamatan, melindungi pengguna dan perkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menerusi akta itu penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab memenuhi piawaian ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna.

Beliau optimis kerjasama baik bakal diberi penyedia perkhidmatan seperti ditunjukkan menerusi pelesenan media sosial.

"Jadi ini akan berkuatkuasa dalam tempoh yang tak terlalu lama, saya jangkakan platform-platform media sosial akan terus memberikan kerjasama terutama kepada agensi-agensi seperti PDRM untuk membanteras jenayah yang berlaku dalam talian", katanya.

Setakat ini tiga penyedia perkhidmatan telah diberi Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi iaitu WeChat, TikTok dan Telegram.

Manakala, permohonan META sedang dalam proses penyediaan dokumen terakhir bagi melengkapkan pendaftaran.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan Malaysia akan terus memainkan peranan dalam usaha pembangunan semula Palestin, khususnya di Gaza.

Ke arah itu, tindakan proaktif akan dilaksana khususnya di peringkat antarabangsa bagi memastikan keamanan dan penyelesaian terbaik dicapai.

"Pengumuman gencatan senjata yang akan bermula pada hari Ahad tidak bermakna sekiranya bantuan kemanusiaan tidak sampai kepada mereka yang memerlukan.

"Pada yang sama kita perlu mula memikirkan langkah-langkah untuk membina semula Gaza dan berusaha untuk mendapatkan keadilan untuk rakyat Palestin.

"Ini saya lihat adalah langkah-langkah yang akan datang.

"Sudah pasti Malaysia akan mainkan peranan dalam usaha untuk membangunkan semula Palestin khususnya di Gaza dan kita akan terus mainkan peranan yang proaktif dan jelas di persada antarabangsa", katanya ketika ditemui pemberita selepas rakaman bual bicara On The Table Social Media Licensing In Malaysia: Key Insights and Impact di sini, hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD