fb fb fb fb fb

Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 dikuat kuasa esok

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [Akta A1695] yang akan dikuatkuasakan esok adalah seiring Dasar Peluang Kedua bagi memperkasa pentadbiran kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap dalam tempoh setahun selepas akta itu berkuat kuasa.

Jumlah itu merupakan separuh daripada jumlah kes yang sedang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi.

"10 Mac lalu, Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Insolvensi 1967 [Akta 360], hasil pelbagai sesi libat urus pihak berkepentingan.

"Pindaan utama adalah berkaitan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap," katanya dalam kenyataan.

Azalina berkata, Seksyen 33C Akta 360 dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari tarikh bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwal.

Selain itu, subseksyen 33B (2A) Akta 360 turut dipinda iaitu mengenai kategori bankrap yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang.

Akta A1695 juga membuat semakan had nilai harta bankrap yang boleh dikecualikan daripada dibahagikan dalam kalangan pemiutang dan had nilai bagi maksud kelayakan kes untuk ditadbir secara pentadbiran ringkas.

"Penguatkuasaan Akta A1695 mencerminkan komitmen kerajaan, memastikan tiada golongan rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara," katanya.

Ia juga membuktikan keprihatinan kerajaan memberikan peluang kedua kepada individu bankrap bagi meneruskan kehidupan lebih baik dan seterusnya kembali bersama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

(Azalina Othman Said)

Media Baharu