KUALA LUMPUR, 9 September - Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi adalah telus dan adil berasaskan prinsip meritokrasi iaitu melalui pencapaian akademik 90 peratus dan pencapaian kokurikulum 10 peratus.
JPT dalam satu kenyataan memaklumkan Sistem UPUOnline menyaring setiap permohonan melalui pemarkahan merit masing-masing, dari tertinggi hingga terendah sebelum penawaran dilakukan.
"Proses pemilihan dan penawaran adalah bergantung kepada markah merit, memenuhi syarat am, dan syarat khas program pengajian, perakuan temu duga dan atau ujian yang memerlukan syarat berkenaan, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan.
"JPT ingin tegaskan bahawa semua keputusan UPUOnline dijana sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon sekali gus menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada.
"Pada masa sama, JPT terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan penambahbaikan pada sistem sedia ada," menurut kenyataan itu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan kepada semua pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf yang memohon melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 mendapat tempat pengajian.
Berdasarkan rekod, sejumlah 1,255 calon lepasan STPM dengan PNGK 4.00 telah memohon dan 1,249 calon telah pun ditawarkan tempat, manakala seramai enam orang calon akan ditawarkan selepas melengkapkan dokumentasi yang diperlukan.
Dalam kenyataan samam JPT turut mengucapkan tahniah kepada 78,883 calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma atau setaraf yang berjaya ditawarkan tempat ke Universiti Awam bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda.
Kesemua calon berkenaan adalah daripada 109,866 yang layak memohon melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), JPT.
"Kaunter konsultasi permohonan rayuan UPUOnline dibuka bagi calon yang ingin mendapatkan maklumat lanjut termasuk calon yang tidak berjaya di Ruang Legar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya sehingga 12 September 2025," tambah kenyataan itu.