PUTRAJAYA, 9 September – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak meminggirkan mana-mana pelajar, termasuk golongan berkeperluan khas seperti orang kurang upaya (OKU), dalam akses kepada pendidikan tinggi di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sistem UPU yang digunakan dalam pemilihan pelajar bukan sistem baharu dan ia telah lama digunakan secara
telus.
"Saya ingin menjelaskan bahawa dasar kerajaan menetapkan bahawa pelajar yang mendapat keputusan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diberi tempat di institusi pengajian tinggi awam. Tidak ada kompromi dalam perkara ini," tegas Datuk Seri Dr. Zambry.
Beliau berkata demikian dalam satu klip video pendek yang dimuat naik menerusi media sosial.
Dalam pada itu berhubung penjelasan seorang pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat dalam kursus Perakaunan di universiti tersebut, seperti yang dibangkitkan Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Datuk Seri Dr. Zambry meminta pihak Universiti Malaya (UM) memberikan butiran lanjut.
"Saya telah minta Universiti Malaya untuk menjelaskan asas penolakan permohonan pelajar berkenaan, termasuk sekiranya terdapat sebarang syarat tambahan atau had kapasiti program yang menyebabkan permohonan tersebut tidak berjaya," katanya.
Datuk Seri Dr. Zambry turut memaklumkan, pelajar terbabit sebelum ini telah ditawarkan 'conditional offer', iaitu tawaran bersyarat, melalui permohonan saluran terbuka berdasarkan syarat dan proses pemilihan yang ditetapkan.
"Saya berharap isu ini tidak menimbulkan persepsi negatif seolah-olah sistem pemilihan pelajar kita rosak. Kementerian sentiasa bersedia untuk membantu dan menyemak semula kes-kes khas yang berbangkit," katanya.