KUALA LUMPUR, 9 September - Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung pada Oktober depan dijangka menjadi medan diplomasi paling berprofil tinggi tahun ini apabila pemimpin kuasa besar dunia bakal hadir serentak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika pertemuan di Beijing, menyatakan hasrat untuk hadir ke negara ini.
Manakala, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga menghubungi Datuk Seri Anwar untuk mengesahkan kehadirannya.
“Presiden Trump hubungi saya dan sahkan akan hadir bulan depan. Presiden Putin pula menyatakan secara terus kepada saya di Beijing bahawa beliau benar-benar mahu datang ke Malaysia,” katanya.
Tambahnya, lawatan seumpama itu mencerminkan kedudukan Malaysia walaupun berdepan cabaran global masa kini.
“Ini adalah masa yang mencabar. Tetapi walau apa pun, saya tetap sangat optimis kerana kita mempunyai daya tahan. Kita perlu membina dengan daya tahan ekonomi dan juga daya tahan domestik", katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-50 Kumpulan AmBank dan Makan Malam Perdana di ibu negara.
Turut hadir, Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat, Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim.