KUALA LUMPUR, 23 Februari- Akademi Asas Penerangan (ASAS) akan diperluas ke seluruh negara.
Ini bagi memperkasa 1,878 pasukan Komunikasi Komuniti MADANI sebagai jentera penyebar maklumat kerajaan.
Modul latihan turut merangkumi pengaplikasian teknologi digital untuk menangkis penyebaran berita palsu.
"Bagaimana untuk mendapatkan maklumat yang tepat, bagaimana nak memanfaatkan teknologi termasuk AI dan juga chatbot AIFA.
Dari situ, selain daripada kemahiran teknikal, kita juga minta supaya mereka yakin dalam berkomunikasi, mereka tepat dalam menyampaikan maklumat, mereka pantas dalam menangkis fitnah," kata Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Akademi ASAS di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
Program yang berlangsung selama dua hari itu disertai lebih 200 peserta dalam kalangan Komuniti MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi kini sedang memuktamadkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian.
Ia dijangka dilaksana selepas Aidilfitri.
"Kita dalam proses akhir bagi draf asas, draf pertama untuk kempen tersebut. Kita jangka sebab minggu depan bulan Ramadhan, jadi mungkin kita akan bergerak lepas Aidilfitri nanti. Jadi, ini yang sedang berjalan sekarang," tambah Fahmi.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian akan dilaksana di lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat mengenai keselamatan internet.