fb fb fb fb fb

Air pasang besar Tanjong Karang cecah ketinggian 5.6 meter pagi tadi - Bomba

Operasi pemantauan air pasang besar di Pantai Sungai Kajang / FOTO RTM

TANJONG KARANG, 21 September- Fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan di daerah Tanjong Karang, Selangor hari ini didapati mencecah ketinggian 5.6 meter sekitar pukul 7.30 pagi tadi di kawasan pantai.

Menurut Ketua Bomba Zon Tujuh, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Samsol Maarif Saibani, operasi pemantauan air pasang besar bermula pukul 6.00 pagi tadi di kawasan pantai yang berisiko berlakunya limpahan air laut.

"Air telah melepasi ban buat masa sekarang, air telah masuk ke dalam kampung jadi keadaan ini juga walaupun demikian keadaan masih terkawal dan belum ada lagi pertambahan penduduk yang dipindahkan buat masa sekarang," katanya.

Jelas beliau, pemantauan tersebut dilaksanakan melibatkan enam buah kampung di sekitar Tanjong Karang antara Pantai Sungai Kajang, Kampung Lembah Pantai dan Kampung Nelayan.

Katanya, ekoran fenomena air pasang besar dijadualkan berakhir pada hari ini, seramai 101 mangsa daripada 36 buah keluarga di Kampung Baru Lembah Pantai yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara, PPS Institut Pengurusan Peladang akan dibenarkan pulang pada hari ini..

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE