fb fb fb fb fb

Air empangan Bukit Merah susut, kilang terjejas

LENGGONG, 6 Februari- Penyusutan air di Empangan Bukit Merah di Bagan Serai akibat musim panas dan kering turut memberi kesan pada industri sekitar Taiping.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya ada menerima aduan beberapa kilang di kawasan berkenaan termasuklah kilang sarung tangan tentang kekurangan bekalan air menyukarkan operasi mereka.

Menurut Saarani, perkara berkenaan akan dibawa pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi membincangkan serta mencari penyelesaian.

Jelasnya masalah itu turut memberi kesan kepada sektor perindustrian di kawasan tersebut.

"Jadi saya akan bawa sekali lagi dalam mesyuarat exco untuk kita membincangkannya bagaimana kaedah yang lebih berkesan walaupun kita tahu kaedah yang terbaik adalah dengan memindahkan air daripada Sungai Perak ke daerah Kerian , cuma ia melibatkan kos dan kita akan buat kajian terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Kayuhan Muhibah Kesatuan Kakitangan Kemas Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Perak di Lenggong.

Saarani berkata, kajian pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah masih diteruskan bagi mengatasi isu itu.

Sementara itu, meskipun kadar taburan hujan adalah tidak menentu di negeri ini, namun bacaan paras air di empat empangan utama sepanjang sungai Perak adalah terkawal.

Media Baharu