(Acryl Sani Abdullah Sani)
KUALA LUMPUR, 15 April- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar dan Op Selamat 20 bagi memastikan kelancaran perjalanan bersempena Hari Raya Aidilfitri serta mencegah jenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Op Lancar akan bermula 18 dan 19 April memfokuskan semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas, manakala Op Selamat 20 akan dilaksanakan selama tujuh hari bermula 20 April hingga 27 April ini dengan bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
“Fokus utama operasi adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman di samping menurunkan kadar jenayah pecah rumah.
“Sepanjang Op Selamat 20, kita juga akan menggunakan dron bagi memantau serta mengesan lokasi ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti untuk tindakan penyuraian trafik dilaksana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga meminta pengguna jalan raya agar peka dengan info trafik terkini menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi lebuh raya selain menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalan pulang ke kampung.
“Pengguna jalan raya boleh bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pesalah trafik yang melanggar undang-undang melalui rakaman video atau gambar agar tindakan dapat diambil.
“Pada masa sama, kita minta pengguna jalan raya agar bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus ketika pemanduan sepanjang masa agar Aidilfitri dapat disambut dalam suasana kekeluargaan dan kesejahteraan,” katanya.
(Foto fail)