fb fb fb fb fb

Aidilfitri: dua juta kenderaan dijangka keluar dari Lembah Klang

SUNGAI BESI, 29 April- Kira-kira dua juta kenderaan dijangka akan bergerak keluar dari Lembah Klang menuju ke kampung halaman di pelbagai lokasi seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri.

Pergerakan keluar secara berperingkat mulai malam tadi.

Pengguna jalan raya diingatkan agar patuh peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan dan mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, pihaknya melaksana Operasi Bersepadu Sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA), mulai malam tadi yang membabitkan penugasan lebih 2,000 anggota JPJ.

"Jangan anggap apa yang pihak JPJ, pihak PDRM buat ini akan menyusahkan, tapi ia semata-mata untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya, sebab dengan bilangan kenderaan bermula pada malam ini hingga seterusnya dijangka dua juta kenderaan akan berada di jalan raya pada satu-satu masa," katanya.

Tambahnya, Operasi Bersepadu Sempena HRA turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa, antaranya polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan syarikat konsesi lebuh raya.

Sementara itu, sebanyak 279 kenderaan telah dikenakan tindakan dalam Operasi Bersepadu Sempena HRA yang dijalankan di Plaza Tol Jalan Duta, malam tadi.

Ia membabitkan pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Penunggang motosikal mencatat kesalahan paling banyak iaitu sebanyak 140 kesalahan.

Secara keseluruhan 1,137 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan yang membabitkan penugasan 198 anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi.


(Operasi Bersepadu Sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA), mulai malam tadi di Plaza Tol Jalan Duta)

Media Baharu