fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Bomba Kelantan kenal pasti 57 lokasi kemalangan

Gua Musang merekodkan lokasi kemalangan paling tinggi di Kelantan / Foto RTM

GUA MUSANG, 27 Mac-Sebanyak 57 lokasi panas atau hotspot kemalangan dikenal pasti di seluruh negeri Kelantan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, daerah Gua Musang mencatatkan lokasi terbanyak iaitu 15 lokasi diikuti Kuala Krai dengan tujuh kawasan.

Menurut Farhan Sufyan, JBPM Kelantan sudah bersiap siaga sepenuhnya bagi memastikan bantuan kepada orang awam lancar jika berlaku kes kemalangan.

"Di negeri Kelantan ini, JBPM mengenal pasti 57 lokasi hotspot yang kerap berlaku kemalangan jalan raya yang mana 15 lokasi yang tertinggi adalah di Gua Musang.

"Dan saya menasihati untuk pemandu yang balik beraya ke kampung di kelantan supaya berhati-hati berhemah di jalan raya. Pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan", katanya demikian ketika menyantuni serta menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang di sini.

Farhan berkata, antara lokasi panas yang dikenal pasti di Gua Musang ialah kawasan Jalan Rantau Manis Ke Gua Sejuk, Kilometer 11 hingga 14 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Kilometer 48 hingga 56 Jalan Gua Musang-Lojing dan Jalan Gua Musang ke Meranto dan Jeli.

Dalam perkembangan lain, Farhan turut memaklumkan, masalah pendawaian menjadi punca utama kebakaran rumah pada musim perayaan Aidilfitri.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau kes kebakaran dan orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dalam pengunaan peralatan elektrik ketika musim perayaan ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD