fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Bomba Kelantan kenal pasti 57 'hotspot' kemalangan

Zainal Madasin

KOTA BHARU, 4 April- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti sebanyak 57 lokasi 'hotspot' kemalangan di negeri itu.

Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, pemantauan di lokasi berkenaan akan dijalankan oleh pihaknya dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Gua Musang mencatatkan sebanyak 15 kawasan 'hotspot' kemalangan, diikuti Kuala Krai (7) dan Bachok (5).

Sementara itu, Tok Bali; Pasir Puteh; Sungai Durian, Kuala Krai dan Kemahang, Tanah Merah masing-masing mencatatkan empat lokasi 'hotspot'; Machang; Tanah Merah; Dabong dan Rantau Panjang merekodkan tiga 'hotspot' serta dua di Jeli.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kelantan merekodkan peningkatan jumlah kebakaran ekoran cuaca panas dan musim kemarau yang sedang melanda negeri itu ketika ini. 

Sehingga 25 Mac lalu, 577 kes direkodkan berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat sebanyak 257 kes iaitu meningkat lebih 50 peratus.

Ia membabitkan kebakaran rumah kediaman, premis kedai dan kebakaran terbuka seperti hutan, belukar atau lalang, tempat pembakaran sampah, hutan gambut serta kebun.

Menurutnya, sebanyak 39 'hotspot' kebakaran dikenal pasti iaitu 12 di Pasir Puteh, lapan di Bachok, masing-masing enam di Pasir Mas, Gua Musang dan Kota Bharu serta satu di Tumpat.

Zainal Madasin bercakap demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Kelantan di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah.

SITI AISHAH MD ISA