PUTRAJAYA, 4 April- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanjutkan tempoh akhir permohonan Surat Kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR) di Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 21 April 2024 daripada 31 Mac tahun ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelanjutan itu dibuat dengan mengambil kira jumlah kuota aktif yang belum memohon VDR sebanyak 132,000 dan herotan teknikal yang berlaku kepada sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) pada 21, 22, 23, 27, 28 dan 29 Mac 2024.
"Pelanjutan ini akan memberi peluang kepada para majikan yang sahih untuk menyelesaikan proses bagi mendapatkan Surat Kelulusan VDR ini dengan segera," katanya dalam sidang media Kementerian Dalam Negeri di sini.
Saifuddin juga menjangka sejumlah 105,600 pekerja akan diberi Surat Kelulusan VDR daripada 132,000 kuota yang masih belum memohon Surat Kelulusan VDR.
Dalam pada itu kerajaan bersetuju menamatkan perkhidmatan Agensi Pengendali Permohonan Visa Malaysia (APPVM) yang bermula dengan Bangladesh pada 1 Januari lalu.
Bagi negara sumber termasuk Singapura dan Hong Kong ia akan dibuat pada 31 Mei depan manakala bagi negara China pula akan dibuat pada 31 Disember ini.
"Objektif utama penamatan ini untuk mempertingkatkan kecekapan proses pengambilan pekerja asing dengan mengurangkan lapisan birokrasi yang tidak memberi nilai tambah pada kerajaan.
"Selain daripada itu, majikan tidak lagi dibebankan dengan kos yang perlu dibayar kepada agen pengendali visa asing itu," katanya.
Setelah perkhidmatan APPVM Bangladesh ditamatkan, Jabatan Imigresen telah meluluskan sebanyak 23,859 permohonan visa di Bangladesh bagi tempoh mulai 1 Januari hingga 3 April 2024.
Proses kelulusan dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi indikatif bahawa perkhidmatan APPVM di luar negara tidak diperlukan.