KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka peluang besar untuk melahirkan tenaga kerja lebih mahir dan berdaya saing, selaras dengan keperluan industri masa depan.
Dekan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Mohd Shahrizal Sunar berkata, integrasi AI dalam TVET memberi nilai tambah kerana pelajar bukan sahaja memahami teori, malah mampu mengaplikasikan kemahiran dalam situasi sebenar.
“Sebagai contoh dalam bidang pembinaan, pelajar boleh belajar melalui simulasi. Malah dengan sistem AI, kita boleh membuat jangkaan dari segi masa, kos dan kemajuan projek secara lebih tepat,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, AI juga membolehkan prestasi pelajar dianalisis secara automatik sekali gus membantu meningkatkan kemahiran mereka secara berperingkat sebelum diuji dalam situasi sebenar.
Kaedah ini dilihat sebagai satu transformasi penting dalam pembelajaran TVET, dengan teknologi bukan sekadar alat bantu, tetapi menjadi sebahagian daripada proses latihan.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.